Liga Malaysia sekali lagi menjadi sorotan apabila jaringan penyerang Sabah, Amri Yahyah mendapat perhatian media antarabangsa iaitu 433.

Amri menjaringkan gol cantik menerusi sepakan percuma ketika Sabah turun menentang Kelantan United dalam saingan Piala MFL 2023.

Sepakan percuma yang diambil oleh pemain berusia 42 tahun itu berjaya menewaskan penjaga gol lawan, Amin Mat Gani.

Jaringan tersebut mendapat perhatian salah satu media bola sepak antarabangsa yang terkenal iaitu 433 yang mana video itu mendapat tontonan sebanyak 630 ribu di Twitter setakat ini.

Jaringan Amri Yahyah itu berjaya membantu skuad muda Sabah mencatat kemenangan 4-1 ke atas Kelantan United.

Sebelum ini, bola sepak Malaysia digegarkan dengan jaringan Safawi Rasid ketika perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Solomon Islands.

Satu lagi media antarabangsa, Bleacher Report kagum dengan jaringan yang dicipta oleh Safawi pada perlawanan tersebut dan berpendapat jaringan itu layak untuk dijadikan sebagai salah satu calon untuk Anugerah Puskas.

Pemain berusia 26 tahun itu memanfaatkan peluang dengan sebaik mungkin dimana beliau melakukan kawalan bola yang sangat baik dan membuat rembatan dengan kaki kiri sekaligus menjaringkan gol ketiga negara.

Safawi menghadiahkan jaringan tersebut untuk isterinya yang kini sedang mengandung enam bulan dan itu adalah sebab utama beliau meraikan jaringan tersebut dengan memasukkan bola ke dalam baju pada perlawanan tempoh hari.